Friday, November 12, 2010

ADAKAH MELILIT BENANG HITAM PADA KANAK-KANAK AMALAN SYIRIK??

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم



Soalan

MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak- kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?


Jawapan

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat. Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud:

“Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang menggantung tangkal (tamimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wad’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ):

Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua -tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya):

“Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.”

Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.

Waalahu a’lam.

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din

_______

Dipetik dari kitab :

"Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan - Bersama Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din".


_______

Info tambahan :

Peralatan yang digunakan semasa mencukur jambul bayi (terdapat benang hitam)

'Benang Tridatu' yang dipakai oleh penganut Hindu

Benang yang terdiri daripda tiga warna ini melambangkan 3 dewa yang esensial dalam agaama Hindu. Dewa Brahma (pencipta) dilambangkan dengan warna merah. Dewa Wisnu (pemelihara) selalu dilambangkan dengan warna hitam. Dewa Siwa (pelebur) yang dilambangkan dengan warna putih.

Ketiga-tiga dewa ini disebut sebagai Trimurti

_______

Sunat-sunat Kelahiran menurut Syarak

1. Melaungkan azan dan iqamah

Disunatkan melaungkan azan dan iqamah kepada bayi sebaik saja dilahirkan iaitu azan ke telinga kirinya dan iqamah ke telinga kanannya, sama ada bayi itu lelaki atau perempuan. Diriwayatkan dari Abi Rafi’ r.a. yang menceritakan;

رأيتُ رسولَ اللّه صلى اللّه عليه وسلم أذّن في أُذن الحسين بن عليّ حينَ ولدتهُ فاطمةُ

“Aku melihat Rasulullah s.a.w. melaungkan azan ke telinga Husain bin Ali r.a. ketika ia dilahirkan oleh Fatimah”.

(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Hakim dan Ahmad)

Husain bin Ali r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَنْ وُلِدَ لَهُ مَوْلُودٌ فأذَّنَ في أُذُنِهِ اليُمْنَى، وأقامَ في أُذُنِهِ اليُسْرَى لَمْ تَضُرّهُ أُمُّ الصّبْيانِ

“Sesiapa dilahirkan untuknya anak, lalu ia melaungkan azan ke telinganya yang kanan dan melaungkan iqamah ke telinganya yang kiri, nescaya tidak akan berupaya memudaratkannya Ummu Shibyan (Ummu Shibyan ialah jin perempuan yang selalu mengganggu anak-anak).

(Riwayat Ibnu as-Sunni)

2. Memohon perlindungan Allah untuk anak yang baru dilahirkan

Di antara doa perlindung untuk anak-anak ialah yang berbunyi;

أُعِيذُكَ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةٍ، وَمِنْ كُلّ عَيْنٍ لامَّةٍ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan dan binatang berbisa serta dari setiap sihir ‘ain (sihir dari pandangan mata) yang membawa kejahatan dan penyakit.

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. memohon perlindungan untuk kedua-dua cucunya iaitu Hasan dan Husin dengan membaca ….(doa di atas)….Baginda berkata; ‘Sesunggungnya bapa kita Ibrahim a.s. dulunya telah memohon perlindungan dengan (membaca) kalimah tersebut untuk Ismail dan Ishaq a.s.’.

(Riwayat Imam al-Bukhari, al-Hakim, Ibnu Majah, at-Tirmizi dan Abu Daud)

Ada di kalangan ulamak menggalakkan kita membaca ayat 36 dari Ali Imran ke telinga kanan bayi yang baru dilahirkan. Iaitu ayat yang berbunyi :

وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ“

…dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran; 36)

2. Memberi nama kepada bayi

(Sila baca “Panduan memberi nama anak” dalam laman ini)

3. Melakukan Aqiqah

(Sila baca “Fiqh Aqiqah” dalam laman ini)

4. Mencukur rambut

Disunatkan mencukur kepala bayi -sama ada lelaki atau perempuan- pada hari ketujuh ia dilahirkan iaitu selepas dilakukan aqiqah. Kemudian disunatkan rambut yang dicukur itu ditimbang dan disedekah emas atau perak seberat rambut tersebut. Sunnah ini berdalilkan beberapa hadis yang telah pun disebutkan tadi.

Dan disunatkan melumurkan kepala bayi itu dengan Za’faran setelah dicukur dan dimakruhkan melumurnya dengan darah aqiqah kerana ia adalah perbuatan orang-orang jahiliyah. Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

كان أهل الجاهلية يجعلون قطنة في دم العقيقة ويجعلونها على رأس المولود فأمرهم النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم أن يجعلوا مكان الدم خلوقاً

“Orang-orang pada zaman Jahiliyah (apabila menyembelih aqiqah) mereka mencelup kapas ke dalam darah binatang aqiqah dan meletakkannya (yakni melumurnya) ke kepala bayi yang lahir (setelah dicukur kepalanya). Lalu (selepas datangnya Islam) Nabi s.a.w. mengarahkan supaya mereka menggantikan darah itu dengan khaluq (yakni sejenis wangian/bauan campuran dari za’faran dan bahan-bahan wangian yang lain, warnanya merah bercampur putih).

(Riwayat Imam Ahmad)

5. Bertahnik

Disunatkan mentahnik bayi yang baru dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan dengan buah tamar. Tahnik (التحنيك) bermaksud; seseorang mengunyah/memamah buah tamar, lalu memasukkannya ke dalam mulut seorang bayi dengan menggosok-gosokkannya ke langit-langit bayi itu agar dikecap dan ditelan olehnya. Jika tidak terdapat buah tamar, bolehlah diganti dengan makanan lain yang manis. Abu Musa al-Asy’ari r.a. menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Dilahirkan untukku seorang bayi, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w., lalu baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahnikkannya dengan sebiji tamar serta mendoakan untuknya keberkatan”.

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hendaklah yang mentahnik itu orang-orang yang terkenal baik dan soleh. Oleh yang demikian, sunat dibawa anak yang baru dilahirkan kepada orang-orang soleh dan bertakwa untuk ditahnik oleh mereka dan supaya mereka mendoakan keberkatan serta kebaikan untuknya. Jika tidak terdapat lelaki, bolehlah dibawa kepada perempuan yang soleh dan bertakwa.

6. Berkhitan

Al-Khitan (الختان) berasal dari kalimah Khatana (ختن) yang bermaksud “memotong”. Al-Khitan bagi lelaki ialah; memotong kulit yang menutupi kepala zakarnya supaya tidak berhimpun kekotoran di situ. Adapun bagi perempuan ialah; memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Dalil disyari’atkan khitan ini, antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misaim”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Hukum Khitan

Dalam mazhab Syafi’ie, hukum berkhitan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Disi mazhab Hanafi, berkhitan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapu ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat.

Waktu berkhitan

Waktu berkhitan tidak disyaratkan ketika kecil. Oleh itu harus berkhitan ketika dewasa. Namun demikian, disunatkan para wali mengkhitankan anaknya pada hari ketujuh kelahirannya jika orang yang menjalankan khitan melihat anaknya itu mampu dan tidak sakit. Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;

أنه صلى الله عليه وسلم ختن الحسن والحسين يوم السابع من ولادتهما

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

7. Mengucapkan tahniah sempena kelahiran

Disunatkan kita mengucapkan tahniah kepada seorang bapa yang baru dikurniakan anak oleh Allah. Adapun lafaz tahniah, sebaik-baiknya kita mengamalkan ucapan tahniah yang diajar oleh Saidina Husain r.a., iaitu;

باركَ اللّه لكَ في الموهوب لك، وشكرتَ الواهبَ، وبلغَ أشدَّه ورُزقت برّه.

“Semoga Allah memberkati kamu pada anak yang dikurniakanNya kepada kamu, semoga kamu mensyukuri Tuhan yang maha Pemberi, semoga anak itu akan mencapai umur kuat/matangnya dan semoga kamu akan diberi rezki kebaikannya”.

Dan bapa/penjaga yang menerima ucapan tahniah atas kelahiran bayinya itu disunatkan pula menjawab;

باركَ اللّه لك، وبارَك عليك، وجزاكَ اللّه خيراً، ورزقك اللّه مثلَه، أو أجزلَ اللّه ثوابَك

“Semoga Allah memberi keberkatan untuk kamu dan melimpahkan keberkatan ke atas kamu, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, semoga Allah memberi rezeki kepadamu seumpamanya atau semoga Allah melimpahi pahalaNya kepadamu”.

Atau ucapan balas yang seumpamanya.

***والله أعلم بالصواب***

Dipetik daripada :

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

No comments:

Post a Comment