Friday, November 12, 2010

ADAKAH MELILIT BENANG HITAM PADA KANAK-KANAK AMALAN SYIRIK??

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم



Soalan

MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak- kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?


Jawapan

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat. Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud:

“Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang menggantung tangkal (tamimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wad’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ):

Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua -tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya):

“Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.”

Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.

Waalahu a’lam.

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din

_______

Dipetik dari kitab :

"Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan - Bersama Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din".


_______

Info tambahan :

Peralatan yang digunakan semasa mencukur jambul bayi (terdapat benang hitam)

'Benang Tridatu' yang dipakai oleh penganut Hindu

Benang yang terdiri daripda tiga warna ini melambangkan 3 dewa yang esensial dalam agaama Hindu. Dewa Brahma (pencipta) dilambangkan dengan warna merah. Dewa Wisnu (pemelihara) selalu dilambangkan dengan warna hitam. Dewa Siwa (pelebur) yang dilambangkan dengan warna putih.

Ketiga-tiga dewa ini disebut sebagai Trimurti

_______

Sunat-sunat Kelahiran menurut Syarak

1. Melaungkan azan dan iqamah

Disunatkan melaungkan azan dan iqamah kepada bayi sebaik saja dilahirkan iaitu azan ke telinga kirinya dan iqamah ke telinga kanannya, sama ada bayi itu lelaki atau perempuan. Diriwayatkan dari Abi Rafi’ r.a. yang menceritakan;

رأيتُ رسولَ اللّه صلى اللّه عليه وسلم أذّن في أُذن الحسين بن عليّ حينَ ولدتهُ فاطمةُ

“Aku melihat Rasulullah s.a.w. melaungkan azan ke telinga Husain bin Ali r.a. ketika ia dilahirkan oleh Fatimah”.

(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Hakim dan Ahmad)

Husain bin Ali r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَنْ وُلِدَ لَهُ مَوْلُودٌ فأذَّنَ في أُذُنِهِ اليُمْنَى، وأقامَ في أُذُنِهِ اليُسْرَى لَمْ تَضُرّهُ أُمُّ الصّبْيانِ

“Sesiapa dilahirkan untuknya anak, lalu ia melaungkan azan ke telinganya yang kanan dan melaungkan iqamah ke telinganya yang kiri, nescaya tidak akan berupaya memudaratkannya Ummu Shibyan (Ummu Shibyan ialah jin perempuan yang selalu mengganggu anak-anak).

(Riwayat Ibnu as-Sunni)

2. Memohon perlindungan Allah untuk anak yang baru dilahirkan

Di antara doa perlindung untuk anak-anak ialah yang berbunyi;

أُعِيذُكَ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةٍ، وَمِنْ كُلّ عَيْنٍ لامَّةٍ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan dan binatang berbisa serta dari setiap sihir ‘ain (sihir dari pandangan mata) yang membawa kejahatan dan penyakit.

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. memohon perlindungan untuk kedua-dua cucunya iaitu Hasan dan Husin dengan membaca ….(doa di atas)….Baginda berkata; ‘Sesunggungnya bapa kita Ibrahim a.s. dulunya telah memohon perlindungan dengan (membaca) kalimah tersebut untuk Ismail dan Ishaq a.s.’.

(Riwayat Imam al-Bukhari, al-Hakim, Ibnu Majah, at-Tirmizi dan Abu Daud)

Ada di kalangan ulamak menggalakkan kita membaca ayat 36 dari Ali Imran ke telinga kanan bayi yang baru dilahirkan. Iaitu ayat yang berbunyi :

وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ“

…dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran; 36)

2. Memberi nama kepada bayi

(Sila baca “Panduan memberi nama anak” dalam laman ini)

3. Melakukan Aqiqah

(Sila baca “Fiqh Aqiqah” dalam laman ini)

4. Mencukur rambut

Disunatkan mencukur kepala bayi -sama ada lelaki atau perempuan- pada hari ketujuh ia dilahirkan iaitu selepas dilakukan aqiqah. Kemudian disunatkan rambut yang dicukur itu ditimbang dan disedekah emas atau perak seberat rambut tersebut. Sunnah ini berdalilkan beberapa hadis yang telah pun disebutkan tadi.

Dan disunatkan melumurkan kepala bayi itu dengan Za’faran setelah dicukur dan dimakruhkan melumurnya dengan darah aqiqah kerana ia adalah perbuatan orang-orang jahiliyah. Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

كان أهل الجاهلية يجعلون قطنة في دم العقيقة ويجعلونها على رأس المولود فأمرهم النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم أن يجعلوا مكان الدم خلوقاً

“Orang-orang pada zaman Jahiliyah (apabila menyembelih aqiqah) mereka mencelup kapas ke dalam darah binatang aqiqah dan meletakkannya (yakni melumurnya) ke kepala bayi yang lahir (setelah dicukur kepalanya). Lalu (selepas datangnya Islam) Nabi s.a.w. mengarahkan supaya mereka menggantikan darah itu dengan khaluq (yakni sejenis wangian/bauan campuran dari za’faran dan bahan-bahan wangian yang lain, warnanya merah bercampur putih).

(Riwayat Imam Ahmad)

5. Bertahnik

Disunatkan mentahnik bayi yang baru dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan dengan buah tamar. Tahnik (التحنيك) bermaksud; seseorang mengunyah/memamah buah tamar, lalu memasukkannya ke dalam mulut seorang bayi dengan menggosok-gosokkannya ke langit-langit bayi itu agar dikecap dan ditelan olehnya. Jika tidak terdapat buah tamar, bolehlah diganti dengan makanan lain yang manis. Abu Musa al-Asy’ari r.a. menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Dilahirkan untukku seorang bayi, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w., lalu baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahnikkannya dengan sebiji tamar serta mendoakan untuknya keberkatan”.

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hendaklah yang mentahnik itu orang-orang yang terkenal baik dan soleh. Oleh yang demikian, sunat dibawa anak yang baru dilahirkan kepada orang-orang soleh dan bertakwa untuk ditahnik oleh mereka dan supaya mereka mendoakan keberkatan serta kebaikan untuknya. Jika tidak terdapat lelaki, bolehlah dibawa kepada perempuan yang soleh dan bertakwa.

6. Berkhitan

Al-Khitan (الختان) berasal dari kalimah Khatana (ختن) yang bermaksud “memotong”. Al-Khitan bagi lelaki ialah; memotong kulit yang menutupi kepala zakarnya supaya tidak berhimpun kekotoran di situ. Adapun bagi perempuan ialah; memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Dalil disyari’atkan khitan ini, antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misaim”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Hukum Khitan

Dalam mazhab Syafi’ie, hukum berkhitan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Disi mazhab Hanafi, berkhitan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapu ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat.

Waktu berkhitan

Waktu berkhitan tidak disyaratkan ketika kecil. Oleh itu harus berkhitan ketika dewasa. Namun demikian, disunatkan para wali mengkhitankan anaknya pada hari ketujuh kelahirannya jika orang yang menjalankan khitan melihat anaknya itu mampu dan tidak sakit. Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;

أنه صلى الله عليه وسلم ختن الحسن والحسين يوم السابع من ولادتهما

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

7. Mengucapkan tahniah sempena kelahiran

Disunatkan kita mengucapkan tahniah kepada seorang bapa yang baru dikurniakan anak oleh Allah. Adapun lafaz tahniah, sebaik-baiknya kita mengamalkan ucapan tahniah yang diajar oleh Saidina Husain r.a., iaitu;

باركَ اللّه لكَ في الموهوب لك، وشكرتَ الواهبَ، وبلغَ أشدَّه ورُزقت برّه.

“Semoga Allah memberkati kamu pada anak yang dikurniakanNya kepada kamu, semoga kamu mensyukuri Tuhan yang maha Pemberi, semoga anak itu akan mencapai umur kuat/matangnya dan semoga kamu akan diberi rezki kebaikannya”.

Dan bapa/penjaga yang menerima ucapan tahniah atas kelahiran bayinya itu disunatkan pula menjawab;

باركَ اللّه لك، وبارَك عليك، وجزاكَ اللّه خيراً، ورزقك اللّه مثلَه، أو أجزلَ اللّه ثوابَك

“Semoga Allah memberi keberkatan untuk kamu dan melimpahkan keberkatan ke atas kamu, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, semoga Allah memberi rezeki kepadamu seumpamanya atau semoga Allah melimpahi pahalaNya kepadamu”.

Atau ucapan balas yang seumpamanya.

***والله أعلم بالصواب***

Dipetik daripada :

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Wednesday, November 10, 2010

HAVE U FULFILL YOUR OBLIGATIONS AS A MUSLIM??


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Sesiapa yang
memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka
sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang
menasihati secara terang maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya. Dan bila tidak berguna nasihat
secara sembunyi , maka minta tolonglah orang-orang yang baik untuk mencegahnya dari perbuatan maksiat. Maka jika tidak dikerjakan yang
demikian, pasti perbuatan maksiat itu akan menjalar dan bermaharajalela sehingga menghancurkan semua - Abu Dardaa' r.a


Berhati-hatilah ketika berkata-kata, jangan mudah mengkritik orang lain mahupun memandang rendah terhadap sesiapa.Ingatlah, belum tentu dengan amalan kita yang lebih banyak dari orang lain menjamin syurga di akhirat kelak. Sesungguhnya rahmat Allah itu sungguh besar, boleh jadi kita yang baik amalannya,mati dalam keadaan kufur(nauzubillahi min zalik), dan boleh jadi orang yang kurang elok amalannya diberikan hidayah oleh Allah untuk bertaubat dan mati dalam keimanan.Buat mereka yang mengaku dirinya sebagai seorang muslim,kalian mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menegakkan amar maa'ruf nahi mungkar. Sedarkah kita?? tepuk dada tanya iman..~

Instead of criticising on something,its much more better for us to take part and fix...ponder up your obligations as a muslim..wallahua'lam..renung-renungkanlah..


~ballighu anni walau ayah~

Sunday, November 7, 2010

ADA APA DENGAN BULAN ZULHIJJAH??


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

DIPETIK DARI USTAZ HALIM..

QULLU SANAH WA ENTUM BIKHOIR..

~Atmim nuri, waghfir zunubi, wa tahhir qalbi, wa haossin farji, wa azubika minal ma'asi. ya rabb. Sempurnakan cahayaku, ampunkan dosaku, sucikanlah hatiku, pasakkan kemaluanku, dan aku berlindungkan dengan Engkau daripada maksiat. ~

Monday, October 18, 2010

~JAUHILAH~



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Mengapa perlu menampakkan bentuk leher??

P/S:- kepada para muslimah yang suka mengenakan pakaian selari dengan fesyen terkini, janganlah terikut-ikut sesuatu secara membuta tuli, bukalah mata hati kamu, berpakaianlah seperti yang dianjurkan dalam agama kita...wallahu'alam..pesanan buat diri ini jua..~

Thursday, October 7, 2010

~JANGKA MASA~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Jika ALLAH menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya,
nescaya ALLAH akan MENYEGERAKAN HUKUMAN baginya
di dunia...

dan jika ALLAH menghendaki keburukan pada hamba-Nya
nescaya ALLAH akan MENYEMPURNAKAN HUKUMAN baginya
di akhirat KELAK...
(HR.Tirmidzi)

~PEJUANGNYA~

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم
Sungguh...!
Para pejuang-NYA tidak akan merugi

Air matanya ketundukan
Keringat dan darahnya perjuangan
Ikhtiarnya bernilai pahala
Bahkan gugurnya berbalas syurga

Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada
orang yang IKHLAS MENYERAHKAN DIRInya kepada ALLAH…
(QS. 4:125)

Thursday, September 16, 2010

~HYPNOTISED???~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم

Hadis nabi :"barangsiapa yang meniru sesuatu kaum, maka ia termasuk dari kalangan mereka".. – (riwayat Abu Daud)

~wallahu'alam~