Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Monday, January 24, 2011

~ATASI KEPENATAN IKUT CARA ISLAM~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah sallahu alaihi wassalam kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata :

“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah sallahu alaihi wassalam tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda sallahu alaihi wassalam pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda sallahu alaihi wassalam berkata:

“Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur:

bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."


Inilah penawar ringkas yang Nabi sallahu alaihi wassalam ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah sallahu alaihi wassalam ini.

Katanya “Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Tips ini dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah ia mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman...SELAMAT BERAMAL..^_^

Wednesday, January 12, 2011

~KELEBIHAN MELAWAT PESAKIT & KELEBIHAN JATUH SAKIT~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Kelebihan melawat pesakit :-

Sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang menziarahi pesakit , maka berjalanlah beliau di taman-taman syurga, apabila dia duduk di sisinya, berkekalan beliau berada dalam rahmat Allah, apabila dia keluar dari tempat pesakit, diwakilkan kepadanya tujuh puluh ribu malaikat untuk memohon keampunan pada hari tersebut”


Antara adab-adab ziarah pesakit (menurut kitab Fiqh Sunnah).

1. Mendo’akan si sakit agar lekas sembuh.

2. Memberi nasihat agar bersabar dan tabah.

3. Menyampaikan ucapan yg baik yg dapat menghiburkan hati si sakit dan menguatkan jiwanya. Cth ucapan: “Tidak apa-apa insyaAllah lekas sembuh.”

4. Pendekkan waktu ziarah

5. Menjarangkan waktu ziarah agar tidak menyulitkan si sakit (kecuali si sakit mengkehendaki sebaliknya)

6. Boleh juga menziarahi orang bukan Islam.

Wallahua’lam….Semoga dapat amal dan sampaikan.


Sabda Rasulullah s.a.w: “Ketika seorang hamba sakit, Allah mengutus dua malaikat kepadanya, seraya berkata, ‘Lihatlah kalian, apa kata hambaKu.” Jika dia berkata ‘Alhamdulillah’, maka diberitahukan kepada Allah, Dia lebih tahu, lalu berkata, “Aku berjanji untuk hambaKu. Jika aku mematikannya, Ku masukkan dia ke syurga. Dan jika Aku menyembuhkannya, Ku ganti dia daging yang lebih baik daripada dagingnya serta darah yang lebih baik daripada darahnya. Dan aku hapuskan pula keburukannya”.

(Dipetik daripada Kitab Mukashafah Al Qulub-Imam Al Ghazali)


~Semoga cepat sembuh buat sahabat-sahabat diluar sana..terutamanya buat warga Mansoura..~

Peperiksaan tak lama lagi..8 hari lagi..mohon doanya..~




Saturday, December 18, 2010

~ADAKAH KITA BENAR2 MENGHAYATI???~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم



i - Subhanallah (سبحان الله)

Maksud literalnya adalah "Maha Suci Allah". Jika dikaji dari sudut bahasa, kalimah "Subhaana" adalah membawa maksud tanzeeh, yakni penyucian dan pembersihan dari segala kekurangan dan kelemahan. Ia terdapat dalam beberapa tempat dalam al-Quran:

"Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, kalau ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu," (al-Mu'minuun: 91)
" Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)." (al-Qasas: 68)


Daripada ayat-ayat di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa kalimah "Subhaanallah" adalah bermaksud Allah Subhaanahu Wata'ala adalah Suci
dari segala kekurangan, kelemahan dan ketidak sempurnaan yang tidak layak bagiNya.

Justeru, apabila melafazkan kalimah "Subhaanallah" , seharusnya terlintas di dalam hati kita bahawa Allah Ta'ala itu Maha Agung, Maha Sempurna serta langsung tidak ada kekurangan atau kelemahan.

Dari itu, akan lahirlah rasa bahawa diri kita ini adalah hamba yang
hina kerana kita ini serba kekurangan dan banyak membuat kesilapan. Lalu wajarlah Allah Taala itu disembah dan ditaati, dan kita pula
langsung tidak layak untuk menderhakai Allah, walaupun sedikit.


ii- Alhamdulillah (الحمد لله)


Maksudnya jelas lagi tegas, iaitu: segala pujian itu adalah bagi Allah. Hanya untuk Allah.

Iaitu, segala ucapan pujian, kesyukuran dan penghargaan itu hanya layak bagi Allah, kerana Dialah yang menjadikan segala nikmat, dan segala perjalanan dunia ini dialah yang mengaturnya.

Maka jika ada sesuatu yang menggembirakan, sememangnya yang paling layak untuk menerima pujian dan penghargaan adalah Allah,kerana dialah yang telah menetapkan
segala-galanya.

Seharusnya apabila kita dipuji,sebaik-baiknya kita panjangkan terus pujian itu pada Allah dengan ucapan Alhamdulillah, kerana Dialah yang sebenarnya layak untuk pujian itu, dan dengan berbuat demikian boleh mengelakkan kita daripada takabbur dan bangga diri.

Dan tidak salah mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan sesama manusia, kerana sabda Rasulullah s.a.w.:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ
"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah" (Hadith riwayat Ahmad, Abi Daud dan Tirmizhi)

Namun, harus diingat, bahawa ucapan syukur dan pujian sesama manusia adalah bersifat majaz (kiasan) semata-mata, kerana hakikatnya, Allah lah yang menjadikan segala-galanya.

Justeru setiap kali kita memuji atau dipuji, haruslah kita ingat bahawasanya yang sebenar-benar layak bagi segala pujian adalah Allah, supaya kita tidak terjerumus dalam lembah kesyirikan dan takabbur.

iii- Allahuakbar (الله أكبر)

Kalimah "Akbar" adalah dalam wazan tafdheel, justeru akbar bermaksud yang maha besar, yakni yang paling besar.

Kalimah Allahuakbar
bermaksud, bahawasanya Allah lah yang paling besar, yang paling penting, dan paling mustahak.

Tiada perkara lain yang lebih utama berbanding Allah Ta'ala. Segala perintah Allah mesti didahulukan dari segala urusan yang lain. Larangan Allah mestilah dijunjung dan diutamakan dari tuntutan dan pujuk rayu hawa nafsu.

Allah lah yang paling utama dan paling besar dalam alam ini, dan paling besar dalam kehidupan setiap hamba.


Berapa kali sudah kita menyebutnya, terutamanya dalam sembahyang. Siang dan malam. Bayangkanlah jika kalimah ini dihayati, sudah tentu di luar sembahyang pun, Allah jualah yang menjadi matlamat hidup dan prioriti utama dalam segala hal.

Mudah-mudahan selepas kita memahami dan memikirkan maksud kalimah-kalimah zikir ini, dapatlah kita menghayati zikrullah dan seterusnya memberi kesan kepada hati dan menambahkan keimanan. Wallahu 'Alam


Tuesday, November 30, 2010

~HAVE U EVER WONDERED?? SUBHANALLAH..~

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


~Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur~insyaAllah
..

jom sama2 cuba mengamalkan konsep 3M :-

(1)Muroqabah: Sentiasa cuba merasakan kewujudan Allah
(2)Muhasabah
: evaluasi
(3)Mutabaah:Evaluasi berkesinambungan (kebiasaanya dalam ibadah)


di bawah ini adalah video bertajuk Benefit of saying 'ALLAH'..a nice explaination I guess..^_^


Monday, November 22, 2010

~JANGAN JADI 'PAK TURUT'~



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Nabi mengingatkan kita "Janganlah kamu menjadi ‘pak turut' yang sering berkata : "Jika orang di sekelilingku baik nescaya akan baiklah aku, namun jika mereka zalim, aku jua menjadi zalim".

Tetapi hendaklah kamu menetapkan jiwa dan pendirianmu sehingga jika manusia baik, kamu baik bersama mereka, tetapi jika mereka buruk, ...maka kamu tidak menjadi buruk dan zalim (seperti mereka).


~kadang-kadang agak susah hendak menyatakan pendirian kita pada orang lain, tambah-tambah pada mereka yang mudah membuat tafsiran tersendiri, lagi parah bila ada pihak yang setelah dia dengar pendapat kita,dikiaskan pula dengan ayat perlinya itu..berlapanglah..tafsirlah dengan mata hati..^_^~bukan senang hendak berkomunikasi dengan golongan seperti ini~tidak ditujukan pada sesiapa...jangan cuba kau kecilkan dunia yang luas ini...

Friday, November 12, 2010

ADAKAH MELILIT BENANG HITAM PADA KANAK-KANAK AMALAN SYIRIK??

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم



Soalan

MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak- kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?


Jawapan

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat. Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud:

“Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang menggantung tangkal (tamimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wad’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ):

Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua -tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya):

“Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.”

Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.

Waalahu a’lam.

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din

_______

Dipetik dari kitab :

"Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan - Bersama Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din".


_______

Info tambahan :

Peralatan yang digunakan semasa mencukur jambul bayi (terdapat benang hitam)

'Benang Tridatu' yang dipakai oleh penganut Hindu

Benang yang terdiri daripda tiga warna ini melambangkan 3 dewa yang esensial dalam agaama Hindu. Dewa Brahma (pencipta) dilambangkan dengan warna merah. Dewa Wisnu (pemelihara) selalu dilambangkan dengan warna hitam. Dewa Siwa (pelebur) yang dilambangkan dengan warna putih.

Ketiga-tiga dewa ini disebut sebagai Trimurti

_______

Sunat-sunat Kelahiran menurut Syarak

1. Melaungkan azan dan iqamah

Disunatkan melaungkan azan dan iqamah kepada bayi sebaik saja dilahirkan iaitu azan ke telinga kirinya dan iqamah ke telinga kanannya, sama ada bayi itu lelaki atau perempuan. Diriwayatkan dari Abi Rafi’ r.a. yang menceritakan;

رأيتُ رسولَ اللّه صلى اللّه عليه وسلم أذّن في أُذن الحسين بن عليّ حينَ ولدتهُ فاطمةُ

“Aku melihat Rasulullah s.a.w. melaungkan azan ke telinga Husain bin Ali r.a. ketika ia dilahirkan oleh Fatimah”.

(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Hakim dan Ahmad)

Husain bin Ali r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَنْ وُلِدَ لَهُ مَوْلُودٌ فأذَّنَ في أُذُنِهِ اليُمْنَى، وأقامَ في أُذُنِهِ اليُسْرَى لَمْ تَضُرّهُ أُمُّ الصّبْيانِ

“Sesiapa dilahirkan untuknya anak, lalu ia melaungkan azan ke telinganya yang kanan dan melaungkan iqamah ke telinganya yang kiri, nescaya tidak akan berupaya memudaratkannya Ummu Shibyan (Ummu Shibyan ialah jin perempuan yang selalu mengganggu anak-anak).

(Riwayat Ibnu as-Sunni)

2. Memohon perlindungan Allah untuk anak yang baru dilahirkan

Di antara doa perlindung untuk anak-anak ialah yang berbunyi;

أُعِيذُكَ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةٍ، وَمِنْ كُلّ عَيْنٍ لامَّةٍ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan dan binatang berbisa serta dari setiap sihir ‘ain (sihir dari pandangan mata) yang membawa kejahatan dan penyakit.

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. memohon perlindungan untuk kedua-dua cucunya iaitu Hasan dan Husin dengan membaca ….(doa di atas)….Baginda berkata; ‘Sesunggungnya bapa kita Ibrahim a.s. dulunya telah memohon perlindungan dengan (membaca) kalimah tersebut untuk Ismail dan Ishaq a.s.’.

(Riwayat Imam al-Bukhari, al-Hakim, Ibnu Majah, at-Tirmizi dan Abu Daud)

Ada di kalangan ulamak menggalakkan kita membaca ayat 36 dari Ali Imran ke telinga kanan bayi yang baru dilahirkan. Iaitu ayat yang berbunyi :

وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ“

…dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran; 36)

2. Memberi nama kepada bayi

(Sila baca “Panduan memberi nama anak” dalam laman ini)

3. Melakukan Aqiqah

(Sila baca “Fiqh Aqiqah” dalam laman ini)

4. Mencukur rambut

Disunatkan mencukur kepala bayi -sama ada lelaki atau perempuan- pada hari ketujuh ia dilahirkan iaitu selepas dilakukan aqiqah. Kemudian disunatkan rambut yang dicukur itu ditimbang dan disedekah emas atau perak seberat rambut tersebut. Sunnah ini berdalilkan beberapa hadis yang telah pun disebutkan tadi.

Dan disunatkan melumurkan kepala bayi itu dengan Za’faran setelah dicukur dan dimakruhkan melumurnya dengan darah aqiqah kerana ia adalah perbuatan orang-orang jahiliyah. Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

كان أهل الجاهلية يجعلون قطنة في دم العقيقة ويجعلونها على رأس المولود فأمرهم النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم أن يجعلوا مكان الدم خلوقاً

“Orang-orang pada zaman Jahiliyah (apabila menyembelih aqiqah) mereka mencelup kapas ke dalam darah binatang aqiqah dan meletakkannya (yakni melumurnya) ke kepala bayi yang lahir (setelah dicukur kepalanya). Lalu (selepas datangnya Islam) Nabi s.a.w. mengarahkan supaya mereka menggantikan darah itu dengan khaluq (yakni sejenis wangian/bauan campuran dari za’faran dan bahan-bahan wangian yang lain, warnanya merah bercampur putih).

(Riwayat Imam Ahmad)

5. Bertahnik

Disunatkan mentahnik bayi yang baru dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan dengan buah tamar. Tahnik (التحنيك) bermaksud; seseorang mengunyah/memamah buah tamar, lalu memasukkannya ke dalam mulut seorang bayi dengan menggosok-gosokkannya ke langit-langit bayi itu agar dikecap dan ditelan olehnya. Jika tidak terdapat buah tamar, bolehlah diganti dengan makanan lain yang manis. Abu Musa al-Asy’ari r.a. menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Dilahirkan untukku seorang bayi, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w., lalu baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahnikkannya dengan sebiji tamar serta mendoakan untuknya keberkatan”.

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hendaklah yang mentahnik itu orang-orang yang terkenal baik dan soleh. Oleh yang demikian, sunat dibawa anak yang baru dilahirkan kepada orang-orang soleh dan bertakwa untuk ditahnik oleh mereka dan supaya mereka mendoakan keberkatan serta kebaikan untuknya. Jika tidak terdapat lelaki, bolehlah dibawa kepada perempuan yang soleh dan bertakwa.

6. Berkhitan

Al-Khitan (الختان) berasal dari kalimah Khatana (ختن) yang bermaksud “memotong”. Al-Khitan bagi lelaki ialah; memotong kulit yang menutupi kepala zakarnya supaya tidak berhimpun kekotoran di situ. Adapun bagi perempuan ialah; memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Dalil disyari’atkan khitan ini, antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misaim”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Hukum Khitan

Dalam mazhab Syafi’ie, hukum berkhitan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Disi mazhab Hanafi, berkhitan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapu ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat.

Waktu berkhitan

Waktu berkhitan tidak disyaratkan ketika kecil. Oleh itu harus berkhitan ketika dewasa. Namun demikian, disunatkan para wali mengkhitankan anaknya pada hari ketujuh kelahirannya jika orang yang menjalankan khitan melihat anaknya itu mampu dan tidak sakit. Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;

أنه صلى الله عليه وسلم ختن الحسن والحسين يوم السابع من ولادتهما

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

7. Mengucapkan tahniah sempena kelahiran

Disunatkan kita mengucapkan tahniah kepada seorang bapa yang baru dikurniakan anak oleh Allah. Adapun lafaz tahniah, sebaik-baiknya kita mengamalkan ucapan tahniah yang diajar oleh Saidina Husain r.a., iaitu;

باركَ اللّه لكَ في الموهوب لك، وشكرتَ الواهبَ، وبلغَ أشدَّه ورُزقت برّه.

“Semoga Allah memberkati kamu pada anak yang dikurniakanNya kepada kamu, semoga kamu mensyukuri Tuhan yang maha Pemberi, semoga anak itu akan mencapai umur kuat/matangnya dan semoga kamu akan diberi rezki kebaikannya”.

Dan bapa/penjaga yang menerima ucapan tahniah atas kelahiran bayinya itu disunatkan pula menjawab;

باركَ اللّه لك، وبارَك عليك، وجزاكَ اللّه خيراً، ورزقك اللّه مثلَه، أو أجزلَ اللّه ثوابَك

“Semoga Allah memberi keberkatan untuk kamu dan melimpahkan keberkatan ke atas kamu, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, semoga Allah memberi rezeki kepadamu seumpamanya atau semoga Allah melimpahi pahalaNya kepadamu”.

Atau ucapan balas yang seumpamanya.

***والله أعلم بالصواب***

Dipetik daripada :

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Thursday, October 7, 2010

~JANGKA MASA~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Jika ALLAH menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya,
nescaya ALLAH akan MENYEGERAKAN HUKUMAN baginya
di dunia...

dan jika ALLAH menghendaki keburukan pada hamba-Nya
nescaya ALLAH akan MENYEMPURNAKAN HUKUMAN baginya
di akhirat KELAK...
(HR.Tirmidzi)

~PEJUANGNYA~

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم
Sungguh...!
Para pejuang-NYA tidak akan merugi

Air matanya ketundukan
Keringat dan darahnya perjuangan
Ikhtiarnya bernilai pahala
Bahkan gugurnya berbalas syurga

Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada
orang yang IKHLAS MENYERAHKAN DIRInya kepada ALLAH…
(QS. 4:125)

Friday, August 20, 2010

~DON'T UNDERESTIMATE THE POWER OF DU3~





بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم

Rasulullah SAW berdoa dalam sembahyang malam dengan lafaz yang bermaksud:

“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” (HR Bukhari dan Muslim)


Sama-samalah perbanyakkan doa dan taubat di bulan yang penuh keberkatan ini...dan bukan bermakna hanya di bulan Ramadhan sahaja, tetapi biarlah kita sentiasa berdoa dan sentiasa bertaubat kepadaNya sepanjang hayat kita..


" never ever lose hope in Allah..pray, pray and keep praying..coz at the end of the day, only Him that matters anyway.."~Dr.Sarah Sofian~


setiap anak adam itu BERSALAH, dan sebaik-baik org yg bersalah adalah org yg sentiasa bertaubat dan kembali kpd Allah [riwayat at-tirmidzi]

~KELEBIHAN-KELEBIHAN BULAN RAMADHAN~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم

1. Dibelenggu para syaitan dan jin.

Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan di belenggu. Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)

2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali.

“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)

3. Pintu neraka ditutup.

Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.

4. Dibuka semua pintu syurga.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari). Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.

5. Allah perhiaskan syurga.

Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angin di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan, hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

6. Dilepaskan tahanan neraka

Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan) Rasulullah S.A.W bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”

7. Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)"

8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang (2 tahun)

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasul SAW telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang. Rasulullah bersabda “Rugilah puasa orang yang tidak mendapat keampunan”.



~SALAM RAMADHAN KAREEM buat semua pembaca dan kawan-kawan~ALLAHU AKRAM...~

Wednesday, August 18, 2010

~AMALAN BAIK ATAU JAHAT~



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم

Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:

Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.

Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya.

(Riwayat Muslim)

~ORANG YANG MUFLIS..~


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.

Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka”
~(Riwayat Muslim)~


Friday, May 21, 2010

RASA MALU..



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم


Malu adalah akhlak indah dan terpuji. Malu adalah sifat yang sempurna dan perhiasan yang anggun. Terlebih indah jika malu ini menghiasi seorang muslimah. Sifat malu selalu tumbuh dalam sikap yang baik dan memadamkan keinginan untuk berbuat tercela. Allah telah mentakdirkan sifat malu ini hanya ada pada manusia untuk membezakannya dengan haiwan. Malu adalah potret peribadi yang agung dan terpuji.


Tentang keutamaan malu ini Rasulullah S.A.W bersabda:


"Malu dan iman adalah bersaudara, maka jika salah satu dari keduanya itu dicabut, tercabut pulalah yang lainnya." (HR. Al Hakim, shohih)"


Sesungguhnya setiap agama itu mempunyai akhlak, dan akhlak Islam adalah rasa malu." (HR. Malik, Ibnu Majah, Al Hakim, shohih)

Thursday, May 13, 2010

HATI IBARAT SEBUAH RUMAH...


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيم



Assalamualaikum w.b.t...
ahlan wa sahlan ya sayyidul ayyam..^_^
sekadar berkongsi satu tazkirah di hari yang mulia ini..moga ada manfaat buat semua..

Pernah dengar hadis ini?? :-

Rasulullah SAW: “ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati.”( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Saya yakin, hampir kesemua dari kita pernah mendengar hadis diatas...
Dengan erti kata lain, hati boleh diumpamakan sebagai sebuah rumah bagi setiap insan...
Mari kita lihat apa kaitan antara hati dan rumah..

Cuba kita semua bayangkan:-
Ada 3 macam rumah, Pertama Rumah raja(istana la tu), di dalamnya ada simpanannya, tabungannya serta perhiasannya. Kedua Rumah hamba, di dalamnya ada simpanan, tabungan dan perhiasan yang tidak seperti yang dimiliki seorang raja. Dan ketiga adalah Rumah kosong, tidak ada sebarang simpanan mahupun barang perhiasan.
Jika datang seorang pencuri, rumah mana yang akan dimasukinya?

Jika anda menjawab, ia akan masuk rumah yang kosong, sudah tentu keputusan yang diambil oleh pencuri ini adalah suatu tindakan yang kurang bijak,masakan tidak, kerana rumah kosong tidak ada barang yang boleh dicurinya.

Ibnu Abbas pernah menjawab dakwaan orang-orang Yahudi bahawa mereka 'tidak pernah terganggu' ketika menunaikan ibadat, Maka Ibnu Abbas berkata: "Apakah yang boleh dikerjakan oleh syaitan dalam rumah yang sudah rosak?"

Dan berbalik kepada analogi tadi, jika jawapan anda adalah: "Pencuri itu akan masuk rumah raja." Sekali lagi saya akan menyatakan perkara yang sama, tindakan yang diambil oleh si pencuri tersebut adalah kurang bijak!! Sebab apa??
kerana sudah tentu rumah raja dijaga rapi oleh pengawal keselamatan dan angkatan tenteranya,

Bagaimana mungkin pencuri tersebut mendekatinya sedangkan ada sahaja orang yang mengawasi keselamatan barang-barang berharga di dalam istana raja tersebut.

Dan jika si pencuri memilih untuk mencuri di rumah ketiga, disinilah akan terjawabnya mengapa saya mengatakan hati kita ibarat sebuah rumah.

Hati yang kosong dari kebajikan, iaitu hati orang-orang kafir dan munafik, adalah rumah bagi syaitan, yang telah menjadikannya sebagai tempat tinggalnya. Maka apa yang ada di dalam rumah yang kosong?? Ianya hanya sebuah rumah yang tidak bernilai.

Manakala hati yang telah dipenuhi dengan kekuasaan Allah Taala dan keagungan-Nya, penuh dengan kecintaan-Nya dan sentiasa dalam penjagaan-Nya, mana mungkin syaitan berani mahupun berjaya memasuki hati ini? Ini adalah keadaan seperti yang dialami oleh si pencuri di rumah raja.
Dan yang terakhir, hati yang di dalamnya ada tauhid Allah, mengerti tentang Allah, mencintai-Nya, dan beriman kepada-Nya, serta membenarkan janji-Nya, Namun di dalamnya ada pula syahwat, sifat-sifat mazmumah, dan hawa nafsu. Hati ini tercampur di antara dua hal. Kadang-kadang hatinya cenderung kepada keimanan, ma'rifah dan kecintaan kepada Allah semata, dan kadang-kadang ia condong kepada bisikan syaitan, hawa nafsu dan tabiat tercela.Keadaan ini sama seperti rumah kedua.Hati semacam inilah yang dicari oleh syaitan dan diinginkannya. Dan Allah memberikan pertolongan-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. "Dan kemenanganmu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Imran:126)

Syaitan tidak mungkin mengganggunya kecuali dengan senjata yang dimilikinya, yang dengannya ia masuk dalam hati. Di dalam hati seperti ini, misi syaitan dipermudahkan oleh syahwat, syubhat, khayalan-khayalan dan angan-angan dusta yang sudah sedia ada di dalam hati.Bagaimana cara melawan dari terus tercondong ke arah ajakan syaitan??Ianya hanya dapat dilakukan apabila seorang hamba mempunyai benteng keimanan yang mengimbangi serangan tersebut, dan kekuatannya melebihi kekuatan penyerangnya, dengan cara sedemikian,ia akan mampu mengalahkan syaitan. Tiada daya dan kekuatan kecuali dari Allah semata.



Jagalah hatimu, jangan biarkan ia mudah 'dicuri' @ 'dikuasai'


Berhati-hatilah menjaga hati anda..^_^